Sunday, October 16, 2011

Pre Khutbah 7 Oct 2011

The chance to write and deliver to hundreds of Muslim weekly on Friday.. What more can I ask? Alhamdulillah.


_____________________________________________



4 Senjata/Pelindung Seorang Mukmin

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله الكريم وعلى آله وصحبه أجمعين
سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك انت العليم الحكيم
رب اشرح لى صدرى ويسرلى أمرى واحلل عقدة من لسانى يفقهوا قولى
السلام عليلم ورحمة الله وبركاته

Muslimin Muslimat Rahimakumullah;

Alhamdulillah, marilah kita bersyukur kepada ilahi diatas nikmat limpah kurnianya dapat kita sekali lagi bertemu di dewan solat masjid Al-Mukminin, rumah Allah yang mulia ini, untuk sama-sama kita dirikan solat fardhu Jumaat kita nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tidak boleh kita nafikan bahawa dunia pada hari ini penuh dengan rintangan dugaan dan juga cabaran. Sama ada di tempat kerja, di rumah mahupun di sekolah, berbagai-bagai ujian yang perlu kita tempuhi. Kadangkala ujian ini datang dalam bentuk pekerjaan yang semakin rumit, kadangkala pula kita diuji dengan tegangnya hubungan kita sesama manusia, sahabat serta keluarga.

Namun para hadirin sekalian, harus kita ingat bahawa Allah swt tidak akan menguji hambanya melebihi kemampuan hambanya itu. Ini jelas dapat kita lihat dalam surah Al-Baqarah ayat 286:لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا yang bermaksud: (Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.)

Jadi bagaimanakah boleh kita menempuhi segala cabaran serta ujian-ujian seharian ini? InsyaAllah pada hari Jumaat yang bahagia ini, sebagai  peringatan buat diri saya sendiri serta para hadirin sekalian, bahawa Allah s.w.t  telah kurniakan beberapa senjata ataupun pelindung kepada kita hambanya, khususnya kita ummat Nabi Muhammad s.a.w. Saya hanya akan kongsikan empat sahaja pada hari ini, sama ada kita akan menggunakan senjata atau pelindung ini, itu terpulang kepada diri kita sendiri.

Yang pertama, suatu senjata atau pelindung yang amat sukar untuk diperolehi dan hanya mampu didapatkan dengan mudah oleh para solihin, iaitu qiyamulleil atau solat tahajjud kita di tengah malam. Kerana pada ketika inilah Allah akan lebih mendengar permintaan dan rintihan kita hamba-hambanya. Jika kita lihat kembali kepada sejarah, Salahuddin Al-Ayyubi atau dikenali sebagai Salladin di dunia barat, mengarahkan tentera-tenteranya untuk melakukan solat tahajjud pada malam hari ketika mereka sedang berperang, dan natijahnya daripada ini, mereka telah peroleh kemenangan yang besar! Itulah bantuan Allah swt.

Yang kedua pula, adalah solat Dhuha kita pada siang hari. Sepertimana yang pernah dikongsikan sebelum ini, sebuah hadith riwayat Tirmidzi yang bermaksud Allah akan mempercukupkan keperluan kita pada akhir siang apabila kita lakukan empat rakaat solat  ini. Ini juga akan membantu mempermudahkan urusan seharian kita.

Yang ketiga pula adalah berzikir mengingati Allah swt. Kerana apabila kita sedang runsing dengan masalah yang membelenggu kita,  dengan berzikir mengingati Allah dapat menenangkan hati kita, sabdaNya dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 أَلَا بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ “Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Adalah lebih baik kalau dapat kita amalkan ziki-zikir pagi dan petang setiap hari yang kini boleh didapatkan dengan mudah termasuk dilelaman Youtube doa zikir pagi & petang oleh Qari Misyary Rashid.

Dan yang terakhir dan yang paling termudah sekali yang boleh kita lakukan, adalah berdoa pada bila-bila masa sahaja untuk memohon kepada yang Maha Mendengar dan Maha Mengasihani. Firman Allah swt di dalam surah Ghafir ayat 60, وَقَالَ رَبُّكُم ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ  “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Demikianlah tadi empat senjata atau pelindung (Tahajjud, Dhuha, Zikr & Doa) yang boleh kita amalkan supaya dapat kita tempuhi dugaan serta cubaan ujian seharian kita dengan lebih tenang. Dengan ini marilah kita berdoa memohon kepada Allah s.w.t supaya dipermudahkan urusan kita, keluarga kita serta kaum muslim muslimat yang lain juga.