Menghayati Keberkatan Waktu
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله الكريم وعلى آله وصحبه أجمعين
سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك انت العليم الحكيم
رب اشرح لى صدرى ويسرلى أمرى واحلل عقدة من لسانى يفقهوا قولى
السلام عليلم ورحمة الله وبركاته
Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah marilah kita bersyukur, Alhamdulillah, dapat lagi kita bernafas dan berkumpul di dewan solat masjid Al-Mukminin pada hari Jumaat yang mulia ini, untuk sama-sama kita mengerjakan solat fardhu Jumaat kita nanti. Allah s.w.t berfirman: “لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ” Semoga dengan bersyukur kepadaNya, Allah a.z. akan menambahkan lagi nikmatnya kepada kita semua. insyaAllah.
Para hadirin rahimakumullah,
Marilah kita imbas kembali, khutbah Jumaat pada minggu lalu yang menceritakan tentang riwayat kisah hidup Imam An-Nawawi. Ia telah mengajar kita cara menghargai keberkatan waktu yang telah dikurniakan oleh Allah swt kepada kita semua. Seperti yang telah disampaikan, Imam An-Nawawi wafat ketika beliau berusia semuda 45 tahun. Namun, beliau telah banyak menyumbangkan kepada dunia umat islam dengan karangan kitab-kitab hadis seperti Riyadussolihin, kitab fiqh seperti Raudatutolibin dan banyak lagi.
Para hadirin sekalian, pernahkan kita bertanya, bagaimana pula dengan diri kita ini? Ada diantara kita yang sudah mencecah umur 20, 30, 40 tahun, dan ada juga yang mungkin sudah melebihi daripada itu. Namun, apakah yang telah kita sumbangkan kepada dunia? Jika tidak pun, apakah yang telah kita sumbangkan kepada masyarakat Islam Singapura? Ataupun sekurang-kurangnya, apakah yang telah kita sumbangkan kepada ahli keluarga kita dan jiran terdekat kita? Marilah kita bermuhasabah dengan menanyakan soalan-soalan ini kepada diri kita sendiri.
Masih belum terlambat lagi para hadirin sekalian, selagi masih ada lagi waktu dan tenaga, kita masih mampu lagi berusaha untuk meningkatkan diri kita, ketaqwaan kita dan juga orang-orang disekeliling kita. Saya memperingatkan diri saya terlebih dahulu serta para hadirin semua dengan mengongsikan sekali lagi nasihat Ibn Umar r.a, sahabat Baginda junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w. Ibn Umar r.a. berkata “Apabila kamu tiba di masa petang, maka usahlah kamu menantikan waktu pagi. Dan apabila kamu berada di waktu pagi, usah pula kamu menanti waktu petang.” Maksudnya disini, hendaklah kita mengejar waktu dan melakukan kerja-kerja kita tanpa melengah-lengahkannya.
Di dalam sebuah hadith pula yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi: ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w.: “Ya Rasulullah s.a.w siapakah insan yang paling baik?” Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang dipanjangkan umurnya dan baik pula amalannya.” Lelaki itu bertanya lagi : “Siapa pula yang paling buruk?”. Rasulullah s.a.w. menjawab: “Sesiapa yang dipanjangkan umurnya, dan buruk pula amalannya.”
Justeru, marilah sama-sama kita berusaha untuk menggunakan masa dengan sebaiknya untuk beribadah, menuntut ilmu dan mengecapi kejayaan dunia dan akhirat sekaligus insyaAllah. Dan marilah kita berdoa, meminta kepada yang Maha Mendengar lagi Maha Mengasihani untuk memberikan kekuatan kepada diri kita dan menyelamatkan semua kaum muslimin muslimat samada yang masih hidup ataupun yang sudah tiada lagi.
(Pre-Khutbah, 21 Okt 2011)