Monday, December 12, 2011

KELEBIHAN SOLAT-SOLAT SUNNAT WAKTU (RAWATIB)



بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله الكريم وعلى آله وصحبه أجمعين
سبحانك لا علم لنا إلا ما علمتنا إنك انت العليم الحكيم
رب اشرح لى صدرى ويسرلى أمرى واحلل عقدة من لسانى يفقهوا قولى
السلام عليلم ورحمة الله وبركاته
Muslimin muslimat rahimakumullah.

Pada hari yang mulia ini, pada pagi Jumaat yang barakah ini, izinkan saya untuk membawa para hadirin hadirat sekalian untuk sama-sama kita renungkan kembali, kelebihan, kemulian, serta balasan ganjaran pahala yang dijanjikan Allah s.w.t. dalam melaksanakan sunnah-sunnah Baginda junjungan mulia, Rasulullah s.a.w.

Saya yakin kebanyakkan daripada kita yang hadir pada hari ini telah pun mengetahui perkara yang bakal saya sampaikan, namun ini hanyalah sekadar peringatan buat diri saya terlebih dahulu serta para hadirin semua.

Saudara-saudara sekalian, Marilah kita renungkan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. yang berkaitan dengan solat-solat sunnat yang dituntut dan dilazimi Baginda. Yang pertama mengenai solat sunnat pada waktu Zuhr, yang diriwayatkan daripada Ummu Habibah r.ha, Rasulullah s.a.w. bersabda:

من حافظ على أربع ركعات فبل الظهر وأربع بعدها حرمه الله على النار

Yang bermaksud: “Siapa yang memelihara empat rakaat sebelum solat Zohor dan empat rakaat selepasnya; Allah mengharamkannya daripada api neraka” (HR Abu Daud & Tirmizi)

Di dalam hadith yang lain pula tentang solat sunat sebelum Asar, yang diriwayatkan daripada Ibn Umar r.a, sabda Baginda Rasulullah s.a.w.:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا

Yang bererti: “Allah merahmati orang yang solat sunat empat rakaat sebelum solat Asar” (HR Abu Daud & Tirmizi)

Begitu juga dengan solat sunat sebelum Subuh, yang diriwayatkan daripada Aishah r.a., Nabi s.a.w. bersabda:
ركعتا الفجر خير من الدنيا وما فيها

Maknanya: “Dua rakaat sebelum solat Subuh adalah lebih baik daripada dunia dan segala apa yang ada padanya” (HR Muslim)

Demikian lah saudara-saudara yang dirahmati Allah sekalian, kelebihan, kemulian serta ganjaran pahala yang boleh kita raih daripada solat-solat sunnat ini. Empat rakaat sebelum dan selepas solat Zuhr akan menghindarkan kita daripada azab api neraka pada hari akhirat nanti. Manakala empat rakaat sebelum Asar akan memberikan kita rahmat daripada Allah s.w.t. Dan dua rakaat sebelum Subuh itu adalah lebih baik daripada dunia dan segala isinya.

Dengan ini, saya ingin menyeru para hadirin sekalian, untuk sama-sama kita mengajak seisi keluarga kita, anak isteri kita, untuk sama-sama mengejar dan mendapatkan balasan ganjaran yang dijanjikan ini. Semoga dengan memberi tahu mereka akan semua ganjaran pahala ini, akan mebangkitkan semangat mereka, untuk terus mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w sebagai salah satu saham akhirat nanti. Bukan itu sahaja, insyaAllah dengan menggalakkan mereka, kita juga akan mendapat pahala ibadah mereka, seperti mana yang disabdakan baginda Rasulullah s.a.w:

من دل على خير فله مثل أجر فاعله

Maksudnya: “Barang siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, maka baginya pahala seperti mereka yang melakukannya” (HR Muslim)

Sekian sahaja perkongsian pada kali ini. Yang baiknya itu datang daripada Allah, yang kurang itu datang daripada kelemahan saya sendiri. Wallahu Ta’ala ‘Aalam. Wassalam.