Majlis Ugama Islam Singapura
Khutbah Aidil Adha
6 November 2011 / 10 Zulhijjah 1432
Kisah Pengorbanan Teragung Nabi Ibrahim Dan Nabi Ismail – Contoh Teladan Bagi Sekalian Keluarga Islam
Sidang jemaah yang dikasihi Allah,
Di pagi hari yang penuh berkah ini, saya dengan penuh rendah hati ingin mengajak saudara-saudara kaum Muslimin dan Muslimat sekalian, untuk sama-sama memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah s.w.t. Yang mana dengan kasih sayangnya, kita masih terus dikurniakan nikmat kehidupan. Nikmat kehidupan ini membolehkan kita menambahkan amal-amal soleh, berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat, berdaya mencurahkan kasih sayang kepada keluarga kita, berlaku ihsan terhadap sesama manusia, malah mampu untuk beribadah dan tunduk patuh kepada segala perintah-perintah Allah.
Maha Suci Allah, Tuhan semesta Alam, Maha Besar Allah, Tuhan yang melimpahkan kasih sayang, Maha Agung Allah, Tuhan yang dengan keagungan-Nya kita beroleh kehidupan.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd
Sidang jemaah yang dikasihi Allah,
Di pagi Hari Raya Eidul Adha ini, sebagaimana lazimnya, kita sebentar lagi akan bersama-sama melaksanakan ibadah korban. Tidak kiralah, sama ada kita sebagai pentadbir korban, atau yang mengeluarkan biaya untuk penyembelihan korban, mahupun sebagai para relawan yang bersama-sama menyingsing lengan menjayakan ibadah agung ini, atau yang akan bersama-sama menyemarakkan ibadah korban ini dengan menyaksikan upacara penyembelihan dan turut sama melaungkan takbir, tasbih dan tahmid.
Walau apa jua yang akan kita lakukan pada hari ini, marilah bersama-sama kita mengenang kembali sejarah hidup sebuah keluarga yang taat dan patuh terhadap perintah dan suruhan Allah. Keluarga yang pasrah dengan ketentuan dan takdir Allah. Keluarga yang yakin dengan kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t.
Keluarga yang sejarah hidup mereka penuh dengan liku-liku perjuangan, pengorbanan, serta kepatuhan yang tidak berbelah bagi dalam melaksanakan suruhan Allah Tuhannya. Perjuangan dan pengorbanan keluarga yang taat ini, kemudian akhirnya telah melahirkan seorang anak yang bersifat mulia, penyantun perilakunya, elok tutur bahasanya, lembut pekertinya serta tegas dalam membuat keputusan dan taat kepada kedua orang tuanya.
Sidang jemaah Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Keluarga agung yang dimaksudkan ini, adalah keluarga Nabi Ibrahim a.s., dan anak soleh yang dimaksudkan ini pula tidak lain dan tidak bukan ialah Nabi Ismail a.s.
Sejarah hidup Nabi Ismail a.s. mengajarkan kita akhlak dan kejujuran yang dapat dijadikan teladan buat setiap kita yang bergelar anak di muka bumi ini. Ketaatan terhadap perintah Allah, kepatuhan terhadap nasihat kedua orang tua, serta kesabaran yang amat mendalam dan tawakkal yang tidak berbelah bagi dalam mengharungi kepayahan hidup, terhimpun dalam keperibadian dan perwatakan Nabi Ismail a.s.
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah sekalian,
Atas kehendak dan ketentuan Allah s.w.t., sejak kecil lagi Nabi Ismail a.s. terpaksa berpisah dari ayahnya. Malah, Nabi Ismail a.s. dan ibunya Hajar a.s. ditinggalkan di sebuah lembah yang tandus, kering kontang, bahkan jauh dari penempatan manusia.
Ini bermakna, Nabi Ismail dan ibunya mengharungi hidup ini sendirian tanpa sebarang kemudahan, apatah lagi dengan sebarang kecanggihan seperti yang ada pada hari ini. Namun, semuanya ini ditempuh dengan sabar dan tawakkal serta keyakinan bahawa Hasbunallah Wa Ni’mal Wakil
, yakni cukup Allah sahaja bagi kita dan Dialah sebaik-baik tempat kebergantungan!
Allah s.w.t. telah merakamkan kepasrahan dan doa Nabi Ibrahim a.s. ketika meninggalkan anak dan isterinya ini menerusi firman-Nya di surah Ibrahim ayat 37:
Ertinya: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (yakni Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang suci. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar (dan simpati) kepada mereka, dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”
Alangkah indah hidup ini bila kepasrahan diserahkan kepada takdir Allah. Alangkah bahagianya hidup ini bila keyakinan diletakkan pada perlindungan Allah s.w.t.!
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd
Sidang Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah sekalian,
Doa Nabi Ibrahim a.s. diperkenankan Allah, dan Nabi Ismail a.s. membesar sebagai seorang anak yang menyenangkan hati ibunya dan suka membantu orang-orang sekelilingnya. Namun belum puas kedua orang tuanya menagih kasih sayang dari Nabi Ismail a.s., tibalah pula ujian Allah yang tidak terbayang hebatnya, iaitu perintah Allah kepada Nabi Ibrahim a.s. untuk mengorbankan sendiri anaknya Nabi Ismail a.s., yang selama ini menjadi penglipur lara penghibur hati kepada kedua ibu bapanya.
Dengan hati yang amat berat, Nabi Ibrahim membawa Nabi Ismail a.s. ke suatu tempat yang terpencil di Mekah untuk dikorbankan. Walaupun begitu sukar untuk dilaksanakan, tetapi atas dasar perintah wahyu ilahi, Nabi Ibrahim tetap tabah melaksanakan jua dengan penuh ketaatan. Dengan kata-kata yang disusun rapi agar si anak tidak menyalah-fahamkan perbuatan dan tujuannya, Nabi Ibrahim berterus terang menyatakan tujuannya membawa Nabi Ismail ke tempat itu.
Jemaah sekalian, apakah jawapan dari si anak bila mendengar kata-kata ayahnya?
Marilah kita renungkan kisah hebat yang dirakamkan oleh Allah di dalam lembaran suci Al-Quran dalam surah As-Saffat ayat 102-107:
Ertinya: “Maka ketika anaknya itu (yakni Nabi Ismail) sampai berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?’. Anaknya menjawab: ‘Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang bersabar’ ”.
Allah berfirman lagi:
“Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah sekalian,
Inilah contoh yang perlu menjadi ikutan oleh setiap anak dari umat Islam, anak yang patuh pada suruhan Tuhan dan taat serta bersikap ihsan pada kedua orang tuanya.
Bayangkanlah, bila Nabi Ibrahim a.s. mengajak Nabi Ismail a.s. ke suatu tempat yang sunyi dari pandangan orang ramai sambil membawa sebilah parang, Nabi Ismail tidak sedikit pun bertanyakan untuk tujuan apa mereka ke sana. Bahkan sebaliknya berbaik sangka terhadap ayahnya dan turut sama membantu, agar dapat memudahkan ayahnya untuk melaksanakan perintah Allah.
Inilah teladan bagi anak yang soleh, anak yang taat kepada seruan serta nasihat dari kedua ayah dan ibunya. Anak yang redha akan tindakan wajar yang diambil oleh orang tuanya, anak yang taat kepada perintah Allah dan lebih dari itu, membantu orang tuanya untuk turut menjadi hamba yang taat kepada suruhan Allah.
Wahai anak-anak yang disayangi sekalian,
Pada saat yang indah ini, marilah kita fikirkan bagaimana pula hubungan kita dengan ibu bapa kita? Mereka telah mengorbankan masa, usaha, harta dan kadang kala perasaan dan keselesaan demi mendewasakan kita dan memastikan kita dapat terus bahagia.
Apakah yang telah kita korbankan dari masa, usaha, harta dan keselesaan kita demi kebahagiaan orang tua kita saudara sekalian? Apakah mereka telah merasakan belaian kasih kita? Adakah diri kita ini sering leka atau alpa di dalam mendoakan kebaikan mereka di dunia dan akhirat?
Wahai anak-anak sekalian, ketahuilah biar apa pun cabaran yang dihadapi di dalam menjaga, merawat dan menyantuni ibu bapa kita, ia adalah peluang istimewa untuk kita menempah tempat di syurga Allah s.w.t., yang pastinya tiada dapat dinilai dengan segala harta dunia ini.
Tidak seperti Nabi Ismail yang telah terpisah daripada ayahandanya buat sekian lama. Kebanyakan dari kita di sini masih diberi peluang oleh Allah untuk terus berbakti kepada kedua orang tua selain merasakan belaian orang tua kita. Maka usahlah disia-siakan peluang ini, selagi mereka masih ada. Walaupun terdapat kesukaran dalam menjaga ayah bonda yang telah lanjut usia, bayangkan bahawa tangan bonda yang telah usang inilah, dahulunya telah membersihkan kita, menyuapkan kita, membelai dan mengasihi kita.
Ingatlah bahawa kedua kaki ayahanda kita yang telah uzur inilah, yang dahulunya melangkah kesana-sini mencari rezeki dan nafkah buat keluarga dan anak-anaknya.
Seandainya mereka sudah tiada, kirimkanlah doa sebagai amal kebajikan dari kita, agar ianya menjadi bekalan buat mereka dan seterusnya menjadi pemberat amalan mereka pada hari perhitungan kelak.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd
Para ayah dan ibu yang hadir pada pagi yang berbahagia ini,
Pastinya setiap dari kita di sini sering mengimpikan untuk memiliki anak yang soleh atau solehah seumpama Nabi Ismail a.s. Pastinya kita juga mendambakan agar anak kita taat dan patuh pada suruhan agama sepertimana Nabi Ismail a.s. Namun secara insaf, marilah kita menilai diri kita, adakah kita telah memulakan langkah untuk mendidik diri kita supaya mewarisi sifat-sifat mulia Nabi Ibrahim a.s.? Ketahuilah, bahawa kisah ini mengingatkan kita bahawa akhlak Nabi Ismail a.s. tidak terbentuk secara semula jadi atau sendirinya, kecuali disebabkan pengorbanan dan kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. kepada perintah Allah s.w.t.
Ketahuilah juga, Nabi Ibrahim a.s. sentiasa berdoa meminta kepada Allah agar dikurniakan anak yang soleh. Ini jelas terakam pada surah As-Shaffat ayat 100:
Ertinya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari kalangan orang-orang yang soleh."
Namun sebelumnya Allah menegaskan di surah Hud ayat 75:
Ertinya: “Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu seorang yang penyabar, lembut hati lagi suka kembali kepada Allah (yakni dengan mengerjakan amal-amal bakti).”
Sebagai ayah dan ibu, pastinya ia bermula dari kita dahulu untuk menjadi hamba-hamba Allah yang soleh, agar dengan langkah itu kita bakal peroleh anak-anak yang soleh. Ketahuilah, sama ada sebagai ibu atau bapa, kita merupakan guru pertama kepada anak-anak kita. Kitalah yang bakal meninggalkan kesan yang mendalam terhadap cara seorang anak berfikir, bertindak, atau membuat pilihan dalam kehidupannya. Jika kita dambakan anak yang cinta kepada perkara kebaikan, rajin mencari ilmu, tidak mementingkan diri sendiri, maka didiklah mereka melalui contoh teladan hasil dari perbuatan dan tindakan kita sendiri terlebih dahulu. Ingatlah pesanan Nabi s.a.w.:
Maksudnya: “Mulakanlah dengan dirimu, kemudian barulah mereka yang di bawah penyeliaanmu”. Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Allahu Akbar Wa Lillahil Hamd
Saudara kaum Muslimin dan Muslimat yang dikasihi Allah,
Sesungguhnya sejarah hidup Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya ini telah membuktikan betapa keimanan terhadap Allah, kepatuhan terhadap segala suruhan Allah dan kepasrahan terhadap segala takdir ketentuan Allah telah menjadikan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya insan teladan, contoh ikutan dan inspirasi buat sekalian manusia dalam melakukan amalan kebajikan sepanjang zaman.
Dari itu marilah kita tanamkan azam untuk mengambil contoh akhlak mulia yang diwariskan kepada kita oleh Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail a.s. Marilah kita jadikan ibadah korban yang bakal kita laksanakan sebentar nanti sebagai permulaan untuk kita menghayati erti pengorbanan, ketaatan, kepatuhan dan kepasrahan seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya terhadap segala perintah dan ujian dari Allah s.w.t.
Semoga setiap dari kita akan terus mendapat petunjuk dan bimbingan Allah untuk menjadi hamba-hamba-Nya yang soleh dan solehah.
Ya Allah Ya Tuhan kami, di pagi Eidul Adha ini kami bermohon agar Engkau terima segala amalan kami. Kami sedar Ya Allah, kami insaf Ya Allah betapa lemahnya kami, betapa sedikitnya amal bakti kami dan betapa banyaknya dosa-dosa dan kesalahan kami. Akan tetapi Ya Allah, kami tidak pernah mensyirikkan-Mu, kami tidak pernah menyembah selain-Mu dan kami tidak pernah meminta selain dari-Mu.
Maka dari itu Ya Allah, Tuhan yang mempunyai segala kelebihan, Tuhan yag memiliki segala kerajaan, kami memohon agar jangan Engkau memesongkan hati-hati kami, janganlah Kau sesatkan anak keturunan kami, janganlah Kau tutup mata dan pendengaran kami dari pedoman hidayah-Mu Ya Allah.
Ya Allah Ya Tuhan kami, di pagi hari yang mulia ini, kami tunduk rendah kepada-Mu, memohon agar dikurniakan kepada kami kepasrahan Nabi Ibrahim a.s. Bangunkan di dalam jiwa kami serta keluarga kami keimanan Nabi Ismail a.s.. Berikanlah kami petunjuk-Mu di dalam membina keluarga yang utuh. Kurniakanlah kepada keluarga kami keharmonian yang kukuh. Jadikanlah kami di kalangan hamba-hamba-Mu yang bersyukur atas segala nikmat dan kasih sayang-Mu Ya Allah. Tempatkanlah kami di antara golongan yang dapat meraih keredhaan dan syurga-Mu. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.