Sunday, July 24, 2011

Friday Sermon

Salam,
Did I ever mentioned I was assigned to write one of the khutbah about 3 months ago? yeah.. unfortunately I only managed to finish it up a day after the deadline. heh. Saya harap awak tidak serik. If accepted, this should be heard through out Singapore on the 12 of August 2011. If not, alhamdulillah, I'm just glad it is done. :)
Basically the appointed can choose from various topics for the whole year set by another group of asatizahs, with a given structured guidelines. Since this is my first, I picked only one. Luckily I did. It's not easy to manage self-discipline. huhu.
I saw this topic, very near at heart, and quickly grab it up before anyone else. If you are still wondering why, oh just look this webpage tagline.
----------------------------------------------------------------------------------------------
Doa-Doa Dalam Al-Quran

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. dengan sebenar-benar taqwa. Tuntutilah segala perintahNya dan jauhilah segala laranganNya. Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. bukan sahaja Maha Pengampun dan Maha Penyayang, bahkan juga Maha Pendengar, yang sering mendengarkan permohonan dan permintaan hamba-hambaNya.

Sidang Jemaah rahimakmullah,
Pada bulan Ramadan yang mulia ini, saya ingin mengajak anda untuk kita sama-sama renungkan sebuah ayat di dalam surah Al-Baqarah ayat 185:
Ertinya: “Bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagisekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”

Dalam ayat ini Allah s.w.t. menerangkan bahawa kitab suci Al-Quran telah diturunkan pada bulan mulia bulan Ramadan. Ianya adalah suatu mukjizat terbesar baginda Rasulullah s.a.w. sebagai petunjuk kepada umat manusia ke jalan yang benar dan diredhaiNya.

Bukan itu sahaja, di dalam isi kandungannya selain terdapat kisah-kisah pengajaran, perintah serta laranganNya, terdapat juga doa-doa yang telah diajarkan untuk kita umat Islam amalkan dalam kehidupan seharian kita. Marilah kita lihat kaitan ayat seterusnya dalam surah Al-Baqarah ayat 186:
Ertinya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul.”

Ketahuilah bahawa Allah s.w.t. amat dekat dengan diri kita dan sentiasa mendengarkan permintaan serta rintihan hamba-hambaNya. Setiap doa yang dibuat itu didengar dan bakal dikabulkan olehNya. Itulah janji Allah s.w.t. kepada hamba-hambaNya yang beriman kepadaNya.

Namun, apakah kita tetap akan berlagak sombong tanpa mahu menadahkan tangan untuk meminta kepadaNya? Sedangkan di dalam ayatNya yang lain, Allah mengingatkan kita bahawa ada balasan yang berat bagi mereka yang sombong dari memohon doa kepadaNya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ghafir ayat 60:
Ertinya: “Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Saudaraku sekalian,
Allah s.w.t telah mendidik umat Islam supaya bersegera memohon pertolongan dan bantuan daripadaNya dalam apa jua keadaan dan masalah yang mereka hadapi. Janganlah sesekali kita berputus asa apabila ditimpa musibah. Namun, berdoalah kepada Allah supaya diberikan jalan keluar.

Rasulullah s.a.w juga telah mengajarkan kita cara-cara berdoa supaya Allah s.w.t lebih mudah memperkenankan permintaan kita. Di dalam sebuah hadith yang di riwayatkan oleh Imam Tirmidzi, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

Yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada Allah dalam keadaan kamu yakin dengan kemustajabannya. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari jantung hati yang lalai dan alpa

Terdapat juga di dalam sebuah Hadith Qudsi juga yang bermaksud: “Aku ini di sisi (dekat) orang yang zhan (seorang hamba yang bersangka) padaKu, maka perelokkanlah zhan kamu padaku dalam apa-apa perkara (di antara waktu-waktu yang mustajab doa)”. Hadith riwayat Al-Hakim.

Daripada dua hadith ini dapat kita pelajari bahawa antara perkara yang perlu ketika berdoa ialah hendaklah kita yakin dengan apa yang didoakan itu akan dikabulkan oleh Allah s.w.t. Hendaklah kita juga bersangka baik bahawa Allah tidak akan mensia-siakan permintaan kita dan akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita.

Justeru, janganlah kita sekali-kali lupa untuk berdoa dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, dalam berdepan dengan tugasan pekerjaan atau ketika menghadapi ujian, berdoalah pada Allah. “Ya Hayyu Ya Qayyum, Birahmatika Astaghithu” Ertinya: Wahai Zat yang Maha Hidup, wahai Zat yang Maha Berdiri sendiri, dengan rahmatMu aku memohon pertolongan…” Hadtih riwayat Imam Tirmidzi.

Apatah lagi di bulan Ramadan ini, antara doa yang tidak ditolak adalah doa-doa orang yang sedang berpuasa, lebih-lebih lagi ketika waktu berbuka. Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr r.a. di dalam Sunan Ibnu Majah yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika saat berbuka ada doa yang tidak ditolak”

Justeru, marilah kita menggarap peluang pada bulan Ramadan ini dengan memperbanyakkan lagi doa kita kepada Allah s.w.t. Mohonlah segala yang baik-baik untuk diri kita, ibu bapa yang masih ada ataupun yang sudah tiada, untuk anak-anak dan ajarkanlah ia kepada seisi keluarga.

Mohonlah doa-doa seperti yang terdapat di dalam Al-Quran yang dibacakan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Cubalah mengenal pasti terdapat lebih dari 40 ayat-ayat doa di dalam Al-Quran yang seringkali dimulakan dengan kalimah ‘Rabbana’. Sebagai contoh: Rabbana la tuzigh quloobana ba'da idh hadaytana wa hab lana milladunka rahmah innaka antal Wahhab” (al-‘Imram:8) ataupun “Rabbana la tu'akhidhna in-nasina aw akhta'na” (al-Baqarah:286) dan sebagainya.

Semoga dengan memperbanyakkan lagi doa kita kepada Allah s.w.t, urusan seharian kita dan orang-orang disekeliling kita akan dipermudahkan. Dan semoga kita menjadi seorang hamba yang sentiasa mengingatkan Allah, menjadi seorang insan yang beriman dan bertaqwa, serta juga seorang yang tabah dalam menjalani ujian kehidupan seharian. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.